Thursday, April 8, 2010

PAS TELAH GADAI PRINSIP PERJUANGAN !!!???

Perkembangan PAS yang terus mara ke hadapan telah menyebabkan berlaku kejutan kepada penyokong PAS. PAS telah sekian lama menerajui Kerajaan Kelantan. Kini PAS juga mengepalai Kerajaan Kedah. PAS juga pernah mengetuai Kerajaan Perak walaupun kemenangannya kecil. Ianya bagaikan Nabi saw mengepalai pemerintahan Madinah sedangkan Umat Islam di situ pada waktu itu terlalu kecil jumlahnya. Di Selangor pula PAS bersama dalam pemerintahan dengan rakan dalam PR iaitu PKR dan DAP.

PAS bukan sahaja disokong oleh orang Islam tetapi PAS juga didokongi oleh orang bukan Islam. Perkembangan menarik ini telah menimbulkan persoalan di dalam kotak pemikiran ahli. Antara persoalannya ialah apakah PAS kini telah menggadaikan prinsip perjuangan Islamnya?

Apa asas mereka berkata demikian? Asasnya ialah apa yang dilaungkan PAS selama ini seperti kalau kita memerintah, kita akan hapuskan judi, kedai arak, hiburan melampau dan seumpamanya. Nampaknya kilang arak terus megah di Selangor, kedai judi dan arak terus beroperasi di Kedah. Pemimpin PAS dah tak sebut lagi kalimat atau zikir dalam ucapannya sebelum ini iaitu ‘kita hendak menegakkan hukum Islam dan Negara Islam’.



Persoalan ini telah ditimbulkan oleh ahli PAS di banyak tempat. Baca di sini. Sebenarnya inilah kesan apabila kita mengambil pendekatan hukum sedangkan hukum Islam itu sendiri terlalu fleksibel atau anjal. Bukankah hukum ke atas pencuri di ‘kiv’ kan dulu sewaktu zaman ekonomi meleset? Bukankah seorang wanita yang terpaksa berzina (kerana diminta berbuat demikian sebagai syarat untuk mendapatkan susu oleh empunya kambing yang mempunyai susu yang banyak) kerana perlukan susu untuk anaknya, dibatalkan perlaksanaannya? Bukankah Al Walid terlepas dari hukuman rotan kerana minum arak sewaktu dalam peperangan?



Semuanya ini adalah contoh yang sedikit dari contoh yang amat banyak. Ia menggambarkan, perlaksanaan hukum apa sekalipun, adalah tidak seperti yang kita sangkakan dari sudut kewajipan melaksanakannya. Ia banyak bergantung kepada keadaan. Hatta hukum sembahyang sekalipun boleh ditangguhkan atas nama jama’ dan boleh dipendekkan atas nama qasar jika kita berada dalam keadaan dan situasi yang tertentu.



Dengan sebab itu, sekiranya kita mengambil pendekatan hukum dalam dakwah kita, dengan mengenepikan pendekatan dakwah dalam melaksanakan hukum maka kita akan terus berhadapan dengan fitnah yang mengelirukan ummah.



Sebenarnya PAS sama sekali tidak menggadaikan prinsipnya dalam mengurus tadbir negeri yang diperintah atau yang dikongsi bersama. Tidak menutup pusat judi atau kedai arak bagi Negeri Kedah atau Selangor atau Perak atau Penang bukan bermakna PAS menggadaikan prinsip. Kedudukan negeri-negeri tersebut tidak sama dengan Negeri Kelantan. Dari sudut tempoh pemerintahan pun tak sama juga. PAS dah perintah Kelantan selama 20 tahun sedangkan yang lainnya baru 2 tahun.



PAS tidak pernah melafazkan bahawa menegakkan Negara Islam tidak perlu atau tidak wajib dan PAS juga tidak pernah mengungkapkan bahawa judi atau arak itu halal. Seandainya PAS ada melafazkan sedemikian rupa semata-mata kerana hendak mengekalkan kuasa atau hendak merebut kuasa maka barulah boleh dikatakan PAS telah menggadaikan prinsip.



Walau apapun saya berpandangan, betapa pemimpin PAS harus menjelaskan perkara ini khususnya kepada masyarakat desa yang kadang-kadang tertelan juga racun yang disuap oleh UMNO/BN di media massa yang mengatakan PAS telah menggadaikan prinsip perjuangannya demi untuk berkuasa. Kepada ahli pula, berilah sedikit kepercayaan kepada pemimpin kita yang sudah tentu mempunyai kebijaksanaan dalam mengurus tadbir negeri dengan menggunakan kaedah usul fiqh dengan mengambil kira Siasah Syari’yyah. Wallahu’alam. sumber

No comments:

Post a Comment