Saturday, March 27, 2010

PAS : Tekad Tawan Selangor

SHAH ALAM – Sebanyak 100 keahlian baru dari kawasan Puchong diterima Pas Kawasan Puchong dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang, baru-baru ini.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, kebanyakan ahli baru itu kebanyakannya terdiri daripada bekas ahli-ahli UMNO sekitar kawasan Puchong.

Menurutnya, Pas Selangor pada 12 Mac lalu, melancarkan program penerangannya untuk menawan semula 12 kerusi DUN yang ditandingi namun tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke12.

“Program besar-besaran sempena ulang tahun kedua pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang dilancarkan di DUN Seri Serdang, Puchong, berjaya menarik perhatian dan minat rakyat.

“Penduduk di DUN berkenaan kini selesa dan serasi dengan kerajaan baru yang turut dianggotai Pas,” katanya.

Tambah beliau, pada PRU yang lalu, calon Pas di DUN Seri Serdang memperoleh 18,887 undi, tewas dengan kelebihan hanya 45 undi pada calon BN dari UMNO.

“Adalah diyakini bahawa hasil program ini dan pelbagai lagi program susulan lain yang dirancang oleh Pas Selangor dan Pas Kawasan Puchong, DUN Seri Serdang akan berjaya ditawan oleh Pas pada PRU ke13 kelak,” katanya.

Sementara itu, menurut Roslan, program penerangan dijangka akan diteruskan ke DUN Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, 2 April ini.

“Calon Pas, Azrul Khakim di DUN Sungai Air Tawar, memperoleh 4,668 undi dalam PRU lalu, tewas pada calon BN (UMNO) yang mempunyai kelebihan 123 undi.

“Antara aktiviti yang diatur ialah majlis jamuan bersama rakyat di Kampung Sekandi, Program Motivasi di Desa Kasih Sekandi dan ceramah perdana di Dewan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB),” katanya.

Difahamkan, pada program ceramah perdana itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dijadual menerima borang keahlian ahli-ahli Pas baru, yang kebanyakannya terdiri dari bekas ahli-ahli UMNO sekitar DUN Sungai Air Tawar.

“Dengan perkembangan semasa yang melibatkan kerajaan PR serta kemajuan Pas di DUN berkenaan, Pas Selangor optimis bahawa DUN Sungai Air Tawar juga akan berjaya ditawan dalam PRU ke13,” katanya.

No comments:

Post a Comment