"PAS mungkin berada di ambang perpecahan sekiranya Presidennya bukan seorang yang berjiwa besar, penyabar dan genius politik. TGHH memperlihatkan watak pemimpin yang penuh karismatik apabila tidak melenting dan malah tidak membela diri dalam isu Kerajaan Perpaduan. Ternyata lontaran idea Kerajaan Perpaduan telah difitnah dan dimanipulasi begitu hina sebagai satu usaha khianat untuk membawa PAS ke dalam dakapan UMNO.
Kalaulah beliau mengambil jalan membela diri dan memanjangkan polemik sudah pasti PAS akan berada pada situasi yang amat mencemaskan dalam sejarah perjuangan dan kepimpinannya. Dengan jiwa zuhud seorang pemimpin, beliau mengambil pendekatan rela difitnah dan rela ditikam oleh rakan seperjuangan daripada melihat parti menjadi kacau.
Percayalah bahawa banyak orang akan melenting apabila difitnah, dihina dan dimalukan. Tetapi Tuan Guru yang sentiasa kelihatan serius dengan perjuangan ini mengambil jalan yang amat terpuji dan bijaksana dalam politik. Beliau rela difitnah, dihina dan dimalukan asalkan bukan perjuangan suci ini yang difitnah, dihina dan dimalukan. Mana mungkin seorang pemimpin sanggup berada di bawah pentas untuk mendengar kecaman rakan di atas pentas. Kini Alhamdulillah isu Kerajaan Perpaduan ini sudah tenggelam dan PAS kembali kuat, mesra dan padu.
Satu lagi jasa beliau yang amat besar sebesar gunung mutiara ialah keberaniannya mengupas dan memperjelaskan isu batas-batas kufur dan iman sehingga popularnya Amanat Haji Hadi. Beliau pada tahun 1980-an banyak membicarakan melalui kuliah dan penerbitan ilmiah tentang perkara-perkara yang membatalkan syahadah. Melalui usaha menyelamatkan akidah umat Islam di Malaysia beliau difitnah sebagai seorang pemimpin yang mengkafirkan orang lain. Beliau meminta ruang melalui saluran media untuk memperjelaskan isu tersebut malah sanggup berdebat dan bermuzakarah untuk menyuluh mana yang hak dan batil, namun kesempatan tidak diberi kepada beliau malah para mufti, tokoh agama dan pemimpin politik UMNO menolak untuk bersemuka dengan beliau.
Bayangkanlah sekiranya beliau tidak muncul dengan isu-isu akidah itu. Mungkin pada hari ini ramai umat Islam di Malaysia yang salah akidah sama ada melalui ucapan, tulisan dan pegangan. Kini kata-kata seperti “politik suku,agama suku” tidak lagi kedengaran kecuali seorang dua pemimpin UMNO yang pekat biru tua.
Oleh sebab tulisan ini bukan untuk membesar-besarkan beliau, maka tidak perlu dihimpunkan segala kehebatan beliau sebagai seorang ulama peringkat dunia. Penulis hanya mengutarakan dua jasa sahaja kerana terbitnya rasa syukur atas sikap dan keilmuan beliau sehingga selamatnya akidah umat ini dan selamatnya parti kesayangan ini. Terima kasih Tuan Guru
No comments:
Post a Comment