Salam Muharam 1432 : Nik Amalina
Salam Ukhuwah…
Dalam saya tertangguh-tangguh menyiapkan artikel ‘Salam Muharam 1432’, rupanya hari ini kami sekeluarga menerima berita gembira – SPRM TUTUP KES MELIBATKAN NIK AZIZ DAN MENANTU – itu sms yang saya terima pada jam 4.44 petang tadi daripada seorang sahabat di Kuala Lumpur. Alhamdulillah! Terima kasih jua kepada sahabat-sahabat yang mengucapkan tahniah kepada kami. Bak kata sms daripada kakak ipar saya, ‘what a gracious Muharam’! Ya, kebenaran itu tetap akan muncul kerana Allah itu Maha Adil.
Meneruskan artikel ini, saya memanjangkan Salam Muharan 1432 kepada semua sahabat. Mudah-mudahan ia belum lagi benar-benar terlambat hendaknya…Kesibukan urusan harian membantutkan ruang saya di sini.
Alhamdulillah, kita masih lagi dipanjangkan umur untuk menghirup nyaman udara Muharam 1432. Ironinya, tahun baru = azam baru. Sebaiknya kita cuba berazam untuk menggunapakai baki hayat yang ada ini untuk terus bersemangat mengejar segala kejayaan di dunia, namun sesekali jangan lupakan akhirat yang kekal abadi. Mencintai dunia biar ada batasnya, tetapi mencintai akhirat itu adalah segala-galanya.
Tetapkanlah hati ini dalam Islam. Berdoalah sentiasa tanpa ada halangan semoga ada ketikanya doa kita ini akan dimakbulkan Allah s.w.t.. Semoga mana-mana impian yang belum mampu dicapai, akan jua dimakbulkan Allah s.w.t walau mungkin terpaksa melalui banyak cabaran.
Bukan sebuah kehidupan andai tiada cabaran. Setiap ujian itu mampu mendewasakan tindakan kita untuk hari-hari seterusnya. Mungkin ada pahitnya, tapi manisnya jua tetap ada. Jika bukan hari ini, mungkin esok, mungkin juga lusa, tetapi sentiasalah kita ingat bahawa Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, sehina-hina kita sebagai hambaNya di muka bumi ini, insyaAllah ada waktunya kita boleh tersenyum gembira, tanpa kita sedar bahawa itulah sebenar-benarnya nikmat yang kita cari selama ini.
Setahun yang berlalu banyak memberi teladan kepada saya. Sebuah perjalanan yang panjang, tetapi terasa pendek sahaja masanya. Alhamdulillah, kehidupan saya bertambah baik dari hari ke hari. Saya tetap bersemangat meneruskan kehidupan dan membina keyakinan yang lebih baik bahawa hidup ini direncanakan secara sempurna oleh Allah s.w.t.. Akan ada hikmah yang besar selepas setiap ujian yang melanda.
No comments:
Post a Comment