Saturday, July 24, 2010

AWAS.....Perangkap Harussani dah mengena.....

Oleh: BayangDiAir

"Dengan mengatakan bahawa ada pemimpin atasan PAS dan UMNO berjumpa dengannya, Harunsani telah berjaya meletakkan perangkap pada satu trafik politik. Perangkap itu memang jelas apabila mufti yang dilihat lebih berat ke arah perpaduan Melayu berbentuk asobiyah itu tidak menamakan individu yang dikatakan sebagai pemimpin PAS itu.

Dalam satu kenyataannya selepas itu, diperkuatkan lagi perangkapnya dengan dakwaan bahawa tak kan dia sebagai mufti hendak berbohong.

Kini tersebar dakwaan khianat bahawa Datuk Dr. Hassan Ali ialah pemimpin PAS yang dimaksudkan itu. Secara berani dan jujur Pesuruhjaya PAS Selangor itu bangun mengakui bahawa beliau ada bertemu dengan Harussani dua bulan yang lalu. Pertemuan itu adalah atas kapasiti beliau sebagai Exco Agama manakala Harussani sebagi mufti. Agendanya adalah ‘engagement” biasa yang dihalalkan oleh PAS. Perkongsian ilmu dan pengalaman bukanlah sesuatu yang salah lebih-lebih lagi demi kebaikan agama dan ummah itu sendiri dalam urusan pentadbiran. Pertemuan itu pula dilakukan secara terbuka. Jadi apa salahnya sehingga beliau terpaksa menanggung fitnah kali ketiga ini?

Fitnah pertama ialah apabila beliau dikatakan sebagai ‘berperangai Yahudi’ oleh perwakilan ketika muktamar beberapa tahun yang lalu sehingga menyedut aliran darah ke jantung beliau. Daripada penjelasannya, beliau amat berdukacita atas dakwaan perwakilan itu. Agak lama juga beliau tergamam sehinggalah aliran darah kembali normal di dalam jantungnya. Kedua, beliau dicop sebagai pro-UMNO dan ingin mendapat jawatan dalam isu UG. Ketiga ialah fitnah terkini . Tidak mustahil beliau akan terus ditimpa fitnah selagi musuh mempunyai agenda peribadi.

Jahatnya seorang mufti sekiranya memutarbelit motif pertemuan yang dilakukan secara terbuka tersebut. Mufti tidak berbohong atas kenyataan adanya pertemuan. Tapi busuknya bohong mufti sekiranya lain tujuan lain pula yang diuar-uarkan. Memang Datuk Mufti tidak berbohong tentang adanya pertemuan sepertimana kata, “ tak kan saya sebagai mufti hendak berbohong?” Tetapi apakah ‘lain yang diperkata lain pula yang diceritakan’ itu bukan bohong namanya? Niat serong betul.

Bohong atau tidak, kenyataan mufti Perak itu sudah menjadi perangkap. Kata peribahasa, perangkap tak pernah melupakan pelanduk, tetapi pelanduk selalu melupakan perangkap. Peringatan ini walaupun sudah dijiwai orang bangsa Melayu tetapi pengajaran sukar mendidik diri. Kini kelihatan perangkap Harussani sudah mengena. Isu perpaduan Melayunya berjaya membina prejudis dalam kalangan pemimpin PAS. Sudah ada syak wasangka, tuduhan rawak dan penafian. Timbul sedikit kocak dalam cawan PAS Selangor. Khalid Samad mula melepaskan peluru tak bermatanya. Beliau meminta agar pihak yang bertemu Harussani dikenakan tindakan. Beliau menekankan tentang ‘tindakan’ bukan ‘siasat benar atau bohong.’ Keadaan mula menjadi nanar. Roslan Shahir, Ketua Penerangan PAS Selangor pula menafikan berlaku agenda perpaduan PAS-UMNO. Beliau mengingatkan ahli dan pemimpin PAS agar jangan mengadu domba sama sendiri.

Apakah makna semua ini? Apakah rasa tidak puas hati dan dendam kesumat mewarnai syak wasangka ini? Apakah bentuk rasa tidak berpuas hati yang belum selesai? Tidak dinafikan bahawa insan biasa tidak terlepas dari sifat mazmumah. Namun amat pelik jika ‘dendam’ boleh bertapak dalam hati pemimpin berjiwa Islam. Mustahil. Ini hanya salah sangka penulis sahaja. Begitulah harapnya. Tetapi bagaimana sekiranya rasa tidak berpuas hati itu belum padam? Bagaimanakah jika dendam itu terdapat dalam lipatan hati yang berlapis-lapis sifatnya?

Kesimpulannya di sini ialah terdapat dua perkara yang penulis ingin nasihatkan atas dasar Islam itu mengajar umatnya agar saling nasihat-menasihati. Pertama, kalau UG sudah ditutup buku, maka isu perpaduan Melayu ini juga perlu ditutup buku secara rasmi. Sekiranya polemik ini terus diperhidupkan oleh UMNO maka biarlah Mursyidul Am, Presiden dan Ketua Penerangan PAS Pusat sahaja yang menjawabnya. Kedua, jangan mudah mengizinkan diri masuk dalam perangkap musuh dan syaitan. Syaitan memang berusaha menghancurkan perjuangan Islam dan memporak-perandakan ukhuwah Islamiyah. Pejuang Islam itu umpama batu-batu binaan; yang satu menguatkan yang lain. Ingatlah, sebarang pergeseran bukan sahaja melambatkan kemenangan malah akan menggagalkan matlamat dan meletakkan perjuangan dalam bahana kebinasaan.

"

No comments:

Post a Comment